Jumat, 20 Desember 2013

Isu PTPTN SMM tuntut janji KJ

Safwan Anang


SHAH ALAM – Kumpulan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Presidennya, Muhammad Safwan Anang berkata, perkara itu akan membebankan golongan muda dan bercanggah dengan pendirian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang  mahukan masalah muflis yang membelenggu golongan muda diselesaikan segera.

Menurutnya, SMM akan mengadakan satu perjumpaan dengan pemimpin muda Umno itu bagi “menuntut janji”berhubung perkara yang akan menambah beban golongan tersebut.

“Perkara ini akan menambah beban golongan muda seperti kami.

“Walaupun kami menuntut PTPTN dimansuhkan, namun tindakan yang boleh menyebabkan penyenaraian hitam nama kepada peminjam PTPTN itu perlu dikaji semula.

“Kami juga bercadang akan berjumpa dengan menteri berkenaan yang sebelum ini yang mencadangkan pelbagai kaedah untuk mengeluarkan golongan muda daripada masalah muflis,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.

Mengulas lanjut, Muhammad Safwan berkata SMM akan melancarkan demonstrasi bagi menekan kerajaan sekiranya meneruskan pelaksanaan CCRIS tersebut.

"Kita tuntut kerajaan kaji balik, dan batalkan pelaksanaan CCRIS itu.

"Jika tidak kita akan terus memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar